Anak Syarikat Terengganu Lakar Sejarah, Raih Pendapatan Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Dalam usaha mencapai kejayaan lebih cemerlang musim ini, Terengganu Cycling Team (TSG) menambah sengat dengan kehadiran empat pelumba import baru.
Juara GC Tour of Thailand dan GC Tour of Sharjah UAE 2024, Adne Willemjan Van Engelen dari Belanda yang sebelum ini bertanding mewakili Roojai Insurance (CT) tampil bersama TSG musim ini.
Selain itu, pelumba kelahiran Kazakhtan, Vadim Denisovich Pronskiy, Mathias Bjorn Bregnhoj (Denmark) dan Stefan Jaco De Bod dari Afrika Selatan turut menyarung jersi biru muda pasukan berpengkalan di Terengganu itu.
Mereka akan menyertai Anatolii Budiak dari Ukraine, Aiman Cahyadi (Indonesia) dan Merkel Eyob Tewedeberhan (Eritrea) yang masih kekal bersama pasukan musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap, musim 2025 akan mencatatkan lebih banyak kejayaan buat TSG selepas mengekalkan gelaran Juara ICU Tour buat kali keenam (2012, 2019, 2021, 2022, 2023 dan 2024).
"Lebih membanggakan lagi, TSG berjaya mempertahankan kedudukan selaku Pasukan Benua Terbaik Dunia buat kali ketiga apabila mengenepikan 178 pasukan yang mewakili lima benua dalam kategori tersebut.
"Dengan pencapaian itu, membolehkan TSG berada di ranking ke-30 keseluruhan dalam siri Jelajah Dunia UCI daripada 213 pasukan bertanding," katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba TSG 2025 di Primula Beach Hotel, semalam.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 22 penaja tempatan dan luar negara turut diraikan.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Nara Setia, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dan Tengku Seri Bijaya Raja.
Hishamuddin turut merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak terlibat dalam menyokong TSG selama ini.
"Saya mewakili kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang setia bersama pasukan sejak TSG ditubuhkan.
"Tidak ketinggalan kepada rakan strategik iaitu Tourism Terengganu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut memberi sokongan dari sudut peluang pekerjaan dan sebagainya," tambahnya.
Sebagai rekod, TSG berjaya merebut 53 podium daripada 39 perlumbaan pada musim 2024 dengan pencapaian terbaik menduduki tempat kedua dalam perlumbaan Presidential Cycling Tour of Turkiye bertaraf 2 Pro UCI.
Selain pelumba import, TSG menampilkan sembilan pelumba tempatan musim ini iaitu Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Mohd Harrif Saleh, Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Zuladri Amin Zulkurnain, Muhammad Shahir Aiman Abd Halim, Kee Zhe Yie, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Haizam Mohd Shabri.