• 01 Nov 2024 | 29 Rabiul Akhir 1446

Empat Pulau 'Breakwater' Dibina Hadapi Musim Tengkujuh

KUALA NERUS, 12 Ogos – Empat pulau 'breakwater' di perairan Pengkalan Maras, Mengabang Kapal dan Kampung Tanjung Batu Rakit sedang dibina sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata bahawa pihak pelaksana projek telah berjanji untuk menyiapkan keempat-empat pulau tersebut pada tahun ini.

Menurutnya, langkah itu diambil sebagai usaha untuk melindungi Pantai Batu Rakit daripada hakisan dan kerosakan akibat cuaca buruk. 

“Alhamdulillah, saya telah turun ke tapak pembinaan pagi tadi dan melihat kemajuan yang memberangsangkan. 

"Keempat-empat pulau tersebut kini sedang dalam pembikinan, dan kami berharap agar projek ini dapat diselesaikan sebelum musim tengkujuh tiba,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Mohd Shafizi juga menekankan bahawa penyelesaian ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kawasan Batu Rakit sahaja.

"Tetapi juga kepada keseluruhan daerah, termasuk hingga ke Pantai INSTEP Kampung Mengabang Panjang. 

“Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar demi kebaikan dan keselamatan rakyat Batu Rakit. 

“Kami berdoa agar segala usaha ini membuahkan hasil dan memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada kawasan pesisir kami,” tambahnya.


Tag: