Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu
KUALA TERENGGANU, 6 September – Kerajaan negeri memutuskan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Terengganu 2015 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan bagi memastikan sektor penternakan tersebut dapat berjalan dengan lebih tersusun, sistematik dan mesra alam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, antara bidang pertanian tumpuan kerajaan negeri dalam mencapai tahap pencukupan sara diri (SSL) adalah penternakan unggas sebagai satu daripada sumber makanan.
“Oleh itu kita gerakkan, selangkah demi selangkah untuk mencapai sasaran tersebut, dari segi bekalan daripada sumber mesti dipertingkatkan.
“Di bawah enakmen ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan memastikan sektor ini dapat berjalan bagi memastikan industri unggas maju secara mampan,” katanya ketika berucap dalam program Jerayawara Kesedaran Penternakan Unggas Siri 1, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau turut menyeru para penternak agar mematuhi dan memberi kerjasama erat kepada JPV bagi menjayakan kerja perlesenan secara tidak langsung dapat membantu penternak ke arah pertanian moden.
“Ini bukan untuk membebankan penggiat pertanian dengan komitmen kewangan, tetapi untuk mengawal selia dalam masa sama bagi memacu penternak ke langkah lebih jauh,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata, perkembangan sektor penternakan unggas seperti ayam kampung, itik pedaging/penelur, ayam pedaging dan sebagainya bermula dengan peningkatan reban sistem tertutup dengan kapasiti besar lebih 50,000 ekor setiap ladang.
“Dengan sistem berteknologi tinggi menjelang tahun 2022, pihak JPV mensasarkan sebanyak 139 premis perladangan ternakan dilesenkan dengan pelaksanaan enakmen tersebut,” jelasnya.