Berita :
Sidang DUN Diseru Fokus Selesaikan Isu Rakyat, Perkukuh Sektor Pelancongan
Sidang DUN Diseru Fokus Selesaikan Isu Rakyat, Perkukuh Sektor Pelancongan
Rohayati Ripin
11 jam yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 16 April – Sidang DUN diseru agar tidak sekadar menjadi medan perbahasan semata-mata, sebaliknya benar-benar berfungsi sebagai platform menyelesaikan isu rakyat secara praktikal, di samping memperkukuh sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah kesan tidak langsung konflik di Asia Barat memberi impak kepada ekonomi negeri, khususnya sektor pelancongan.

Menurut beliau, ketidaktentuan global telah menjejaskan aliran pelancong, meningkatkan kos operasi dan mengganggu keyakinan pasaran, sekali gus memberi kesan kepada pengusaha pelancongan, peniaga kecil serta komuniti setempat yang bergantung kepada industri tersebut.

“Sehubungan itu, saya berharap YB-YB dapat membangkitkan isu kebajikan rakyat secara menyeluruh termasuk pengusaha pelancongan, peniaga kecil dan komuniti setempat yang bergantung kepada industri ini," jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bertindak lebih proaktif dengan mempermudah dan mempercepatkan kelulusan projek pembinaan serta naik taraf penginapan pelancongan, di samping melonggarkan prosedur pelaburan bagi merancakkan pertumbuhan sektor berkenaan.

Dalam masa sama, Razali berkata, usaha memperkukuh Terengganu sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim perlu dipergiat, khususnya dengan memberi tumpuan kepada pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

“Penambahbaikan kemudahan mesra Muslim seperti penyediaan makanan halal, tempat ibadah dan persekitaran patuh syariah perlu dipertingkat, selain promosi yang lebih agresif serta tersasar ke pasaran serantau,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat Terengganu juga perlu memainkan peranan sebagai duta pelancongan dengan mempamerkan sikap mesra, beradab serta menjaga imej negeri dalam usaha memberikan pengalaman positif kepada pelancong.

Menurutnya, sektor pelancongan berpotensi besar untuk menjadi pemangkin ekonomi mampan negeri sekiranya digerakkan secara strategik dan inklusif.

“Insya-Allah, dengan pendekatan yang menyeluruh, pelancongan mampu mengangkat ekonomi rakyat dan negeri ke tahap yang lebih baik,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan