KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) terus memperkukuh komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar apabila menganjurkan dua program kelestarian pesisir pantai di Pantai Batu Buruk 2, di sini, semalam.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan HSSEQ EPIC Berhad, Rusdi Ngah berkata program berkenaan merangkumi aktiviti pembersihan pantai “EPIC Jom Bersih 2025” serta program penanaman pokok “EPIC Grow Green 2025”, yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Menurutnya, inisiatif itu turut mengumpulkan seramai 130 sukarelawan melibatkan warga EPIC Berhad, Jabatan Landskap MBKT, Kumpulan Terengganu Inc, Green Ranger UMT dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
"Penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan negeri dan komuniti setempat membuktikan kesedaran semakin meningkat terhadap tanggungjawab menjaga pesisir pantai.
"Kelestarian turut menjadi tunjang utama strategi korporat EPIC Berhad yang memberi fokus kepada daya tahan iklim, sokongan kepada biodiversiti dan pengurusan tanah secara berhemah," katanya kepada pemberita.

"Bahan yang boleh dikitar semula dikumpul secara berasingan oleh Green Ranger UMT bagi tujuan pengurusan sisa mampan," ujar beliau.
Rusdi juga berkata sebaik sahaja selesai aktiviti pembersihan, sukarelawan meneruskan program penanaman 100 anak pokok rhu pantai (Casuarina Equisetifolia) di kawasan terpilih sepanjang pesisir.
"Spesies itu dipilih kerana keupayaannya mengurangkan hakisan, menstabilkan tanah berpasir dan bertindak sebagai benteng angin semula jadi bagi melindungi kawasan pantai," jelasnya.
Katanya lagi, penyertaan syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc seperti Terengganu Incorporated Sdn Bhd, TDM Berhad, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, Golden Pharos Berhad, Primula Beach Hotel dan GPQ Sdn Bhd turut mengukuhkan lagi impak program berkenaan.