KUALA TERENGGANU, 27 November – EPIC Berhad meraikan satu lagi pencapaian cemerlang apabila berjaya merangkul tiga anugerah pada 'HRD Awards 2025 Gala Dinner' malam tadi.
Ia sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif pembangunan modal insan yang progresif, susulan kejayaan meraih Anugerah Platinum pada 'International Malaysia Project Excellence Conference (IMPEC) 2025'.
Dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), HRD Awards yang sudah memasuki edisi ke-23 itu menghimpunkan barisan majikan, penyedia latihan dan pengamal sumber manusia bagi meraikan kecemerlangan pembangunan modal
insan.
Pada majlis tersebut, EPIC Berhad mencipta sejarah sebagai syarikat pertama dari Pantai Timur menerima 'Human Resources Minister Award', pengiktirafan tertinggi bagi kategori 'Mid-Large Employer'.
EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, anugerah tersebut menjadi cerminan transformasi serta tumpuan strategik syarikat dalam membangunkan tenaga kerja berdaya tahan, berkebolehan dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, EPIC Berhad giat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan, kepimpinan dan kemahiran teknikal warga kerja, sejajar dengan transisi tenaga negara, teknologi baharu serta keperluan sektor perkhidmatan sokongan minyak dan gas yang semakin berkembang.
"Pendekatan ini merangkumi latihan praktikal di lapangan, pensijilan industri, rangka kerja
pembangunan kemahiran serta pendedahan merentas fungsi kerja bagi melahirkan bakat serba boleh di seluruh anak syarikat," ujar kenyataan tersebut, hari ini.
Kenyataan tersebut memberitahu, selain anugerah utama yang diterima EPIC Berhad, anak syarikatnya, Sukma Samudra Sdn Bhd (SSSB), meraih Perak bagi "HRD Corp Award' untuk kategori 'East Coast Region SME'.
"Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap usahanya dalam membangunkan kebolehan dan kemahiran pekerja.
"Melalui program latihan dan inisiatif pembangunan kemahiran yang berstruktur, SSSB telah memperkasakan tenaga kerja syarikat untuk memastikan mereka bersedia memenuhi keperluan operasi serta menyumbang kepada pertumbuhan di peringkat Kumpulan EPIC," katanya.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Ts. Muhtar Suhaili muncul naib juara 'Learning & Development Icon Award', hasil kepimpinannya dalam memacu pembangunan bakat dan membina budaya berprestasi tinggi di seluruh peringkat
organisasi.
"Di bawah bimbingan beliau, EPIC Berhad telah memperkenalkan program latihan inovatif, bimbingan mentor dan inisiatif peningkatan kemahiran bagi membolehkan pekerja berkembang secara profesional dan menyesuaikan diri dengan perubahan industri," ujarnya.
Katanya, penganugerahan di HRD Awards 2025 turut mengukuhkan pencapaian EPIC Berhad di peringkat nasional.
"Baru-baru ini, anak EPIC Berhad iaitu EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB)memperoleh Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Bakat dan Pembinaan Keupayaan (Talent Development and Capability Building) pada acara IMPEC 2025, anjuran PETRONAS.
"Kejayaan ini mencerminkan komitmen EOGSB terhadap pembangunan tenaga kerja melalui kerjasama dengan PETRONAS sejak 2023, " katanya.
Sementara itu, mengulas tentang pencapaian tersebut Muhtar berkata, modal insan adalah teras pertumbuhan strategik EPIC Berhad.
"Pengiktirafan ini mencerminkan pelaburan berterusan syarikat dalam membekalkan pekerja dengan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan bagi berkembang dalam landskap industri yang l sentiasa berubah.
"Kami komited untuk membina keupayaan kukuh serta membentuk budaya berprestasi tinggi yang menyokong aspirasi tenaga jangka panjang Malaysia," ujarnya.