EPIC Berhad Salur RM2.3 Juta CSR Bantu Rakyat

KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific International Corporation (EPIC) Berhad, telah memperuntukkan RM2.3 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun ini.

Pengarah EPIC Berhad, Datuk Haji Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, program CSR akan menjadi simbol permuafakatan serta sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada komuniti setempat.

“Sejak 2018 lagi, saya ingin memaklumkan bahawa pihak EPIC Berhad memang sentiasa menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam membantu komuniti rakyat di Terengganu.

“Dan hari ini, kita (EPIC Berhad) memberikan bantuan kepada anak-anak bantuan persiapan kembali ke sekolah”, ujarnya kepada pihak media selepas menyempurnakan program ‘EPIC Back To School 2025’ edisi pertama, di Pusat Sains & Kreativiti (PSKT), hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili.

Kata Ahmad Amzad, seramai 100 orang penerima yang terdiri daripada pelajar prasekolah, PASTI, sekolah rendah dan sekolah menengah telah dipilih melalui penilaian daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, program ini telah diperuntukkan dana sebanyak RM100,000 .
 
“Kami memberikan bantuan dalam bentuk baucer bernilai RM200 untuk setiap penerima, bagi meringankan beban ibu-bapa untuk membeli persiapan anak-anak kembali ke sekolah”, katanya.

Dalam pada itu, edisi kedua dan ketiga program itu seterusnya akan berlangsung di DUN Kijal dan Jabi pada bulan ini dengan jumlah penerima seramai 200 orang, menjadikan jumlah penerima bantuan secara keseluruhan seramai 300 orang pada tahun ini.

Tambah beliau, dengan peningkatan pendapatan yang diperolehi pada masa akan datang, anak syarikat negeri Terengganu itu turut memasang hasrat untuk meningkatkan lagi saluran bantuan kepada masyarakat negeri. 

“Saya selaku Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad menyokong sebarang cadangan untuk meningkatkan lagi kadar bantuan kepada rakyat dan kadar bilangan penerima supaya lebih ramai dapat merasa daripada kemajuan yang dicapai oleh EPIC Berhad," tambah beliau.

Menurut Ahmad Amzad, selain daripada program 'EPIC Back To School 2025' itu, pihaknya juga telah menjalankan program CSR mencantikkan surau Batu Burok baru-baru ini bagi memberi kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengunjung.