lightning-solid
Berita :
EPIC Perkukuh Segmen Hiliran, Tembusi Pasaran Sabah Melalui Kerjasama TTAMM
EPIC Perkukuh Segmen Hiliran, Tembusi Pasaran Sabah Melalui Kerjasama TTAMM
Noraini Jusoh
16 jam yang lepas
127

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – EPIC Berhad menerusi anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd (EPIC OG) memeterai satu perjanjian kolaborasi bagi penyediaan perkhidmatan pengurusan projek bersama Begas Energy Sdn Bhd (Begas Energy) untuk kontrak Henti Tugas Terancang, Penyelenggaraan dan Pengubahsuaian Terminal (Terminal Turnaround, Maintenance, and Modification-TTAMM) di Sabah. 

EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, perjanjian yang dimeterai dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Le Méridien Kota Kinabalu itu menandakan satu lagi pencapaian syarikat dalam memperkukuh kedudukan segmen perkhidmatan hiliran dan terminal di Malaysia, khususnya di Malaysia Timur.

Ketika pemeteraian dokumen berlangsung, EPIC OG telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili bersama Pengurus Besar Tenaga EPIC Berhad, Mohamad Irwan Abdul.

Sementara itu, Begas Energy diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohd Safian Saludin dan Pengurus Operasi, Shahlan Rusian dengan disaksikan Pengerusi EPIC OG, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah EPIC OG yang lain. 

EPIC OG & Begas Energy 01.jpg.jpeg 6.94 MB

Kenyataan itu menyatakan, melalui perjanjian tersebut, EPIC OG akan melaksanakan pengurusan projek secara bersama yang merangkumi khidmat nasihat teknikal bagi kerja-kerja henti tugas terancang, penyelenggaraan rutin dan pencegahan serta pengubahsuaian terminal. 

“Skop perkhidmatan ini dirangka bagi memastikan integriti aset terpelihara dan meningkatkan kebolehpercayaan operasi selaras dengan piawaian industri, keperluan kawal selia dan amalan terbaik kesihatan, keselamatan dan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Muhtar menerusi ucapannya berkata, jalinan kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan EPIC dalam menyediakan perkhidmatan penyelesaian bersepadu merentasi keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas. 

“Kolaborasi strategik ini memperkukuh keupayaan pengurusan projek syarikat dalam melaksanakan skop henti tugas berjadual dan penyelenggaraan yang kompleks. Ia juga mengukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi, pelaksanaan berdisiplin serta pematuhan piawaian keselamatan tanpa kompromi dalam menyokong infrastruktur tenaga yang kritikal,” ujar beliau. 

Menurut kenyataan itu, dengan gabungan kepakaran EPIC OG dalam pengurusan projek dan perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu dengan kecekapan operasi Begas Energy, kerjasama ini dijangka memastikan pelaksanaan kontrak TTAMM yang tersusun, cekap dan berkualiti. 

"Selain memastikan penyampaian projek yang efektif, kolaborasi ini turut menyokong strategi jangka panjang EPIC Berhad untuk memperluas penglibatan syarikat dalam perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan terminal, di samping menyumbang kepada kemampanan serta daya tahan sektor tenaga Sabah dan industri minyak dan gas Malaysia secara keseluruhannya," ujar kenyataan berkenaan.


Tag :

Artikel Berkaitan