lightning-solid
Berita :
Episod Hitam Terengganu Tidak Wajar Berulang
Episod Hitam Terengganu Tidak Wajar Berulang
Zahid Mustafar
13 Nov 25
1066

KUALA TERENGGANU, 13 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan isu kehilangan autonomi terhadap pengurusan royalti petroleum sebagai satu episod hitam dalam sejarah pentadbiran moden Terengganu yang tidak seharusnya berulang.

Beliau berkata, episod itu bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022, apabila kaedah penyaluran royalti kepada kerajaan negeri berubah dan tidak lagi menepati perjanjian asal antara Petronas dengan kerajaan negeri.

"Perkara ini pernah berlaku pada tahun 1999 hingga 2004. Selepas kita mengambil alih kerajaan pada 2018, keadaan kembali normal dan kita menerima sepenuhnya royalti petroleum untuk diuruskan secara total.

"Namun selepas Pilihan Raya November 2022, bermulalah satu episod baharu dalam sejarah pemberian royalti negeri Terengganu yang saya kira merupakan satu episod hitam yang tidak patut berlaku lagi pada zaman moden ini," katanya dalam Ucapan Pergulungan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, gangguan terhadap penyaluran royalti bukan sahaja menjejaskan kedaulatan negeri dalam mengurus hasilnya sendiri, tetapi turut menyekat kelancaran pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Keadaan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan negeri sukar membuat perancangan serta pelaksanaan pembangunan, apatah lagi perkara yang berkait dengan kebajikan rakyat.

"Sebab itulah kita sentiasa berjuang supaya keadaan dikembalikan kepada asal seperti amalan sebelum November 2022," tegasnya lagi.

Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa tuntutan kerajaan negeri terhadap hak royalti bukan bermotif politik, sebaliknya demi menegakkan prinsip federalisme yang adil dan matang antara kerajaan persekutuan dan negeri.

"Bila kita sering menyebut soal royalti, ada yang menuduh kita tiada kerja lain. Hakikatnya, itulah hak kita dan kita konsisten dari dulu. Tidak pernah sedikit pun kita merasakan ini bukan hak negeri Terengganu.

"Sudah pasti suasana sebegini amat tidak baik untuk pembangunan negeri, dan sewajarnya konsep federalisme yang menjadi asas pembentukan Malaysia didukung dengan penuh profesional dan matang," tambahnya.


Tag :

Artikel Berkaitan