BESUT, 24 November – Inisiatif Pasar Berkat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Besut sekali lagi mendapat sambutan sangat luar biasa daripada penduduk setempat hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, sejak awal pagi, orang ramai mula hadir seawal pagi untuk mendapatkan barangan asas pada harga subsidi yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
"Sebanyak 11 ekor lembu telah disembelih seawal jam 7 pagi dengan permit khas dan prosedur pemeriksaan daging serta organ oleh staf Veterinar bagi memastikan kualiti dan kebersihan.

"Daging saya boleh sahkan tak akan cukup walau kita sudah sembelih 11 ekor lembu dan hadkan dua kilogram seorang sahaja. Melihat kepada sambutan yang sangat luar biasa, saya cadang kena buat Pasar Berkat dengan lebih kerap," ujar beliau.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,selain jualan daging, Pasar Berkat Jabi turut menyediakan stok yang besar untuk barangan lain.
"3,000 ekor ayam dijual pada harga RM10 seekor, tiga tan pelbagai jenis ikan pada harga RM5 sekilogram dan 2,000 papan telur dijual pada harga RM10 sepapan. Secara keseluruhan, semua barangan dilaporkan habis dijual," katanya.

Dr Azman menjelaskan, setiap papan telur dijual pada harga RM10, di mana beliau menanggung subsidi lebih RM3 berbanding harga pasaran RM13 lebih sepapan.

"Tanpa anda semua, Pasar Berkat Jabi tidak akan ke mana. Akhir sekali, terima kasih kepada semua adik, kakak dan ibu, ayah yang sudi bertandang. Apa yang terkurang, itu semua dari kelemahan saya Maaf dipinta sehingga kita berjumpa lagi Pasar Berkat Jabi Siri Ketiga," tambahnya.
Pasar Berkat Jabi bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah usahawan dan peniaga kecil yang turut menumpang berniaga dilaporkan gembira dengan kemeriahan dan hasil jualan yang memberangsangkan.