Fitnah Pukul OKU : 'Kalau Nak Jawab Di Hadapan Tuhan, Silakan'

DUNGUN, 22 Januari – "Kalau nak jawab di hadapan Tuhan, silakan," itu antara respon Menteri Besar Terengganu ketika diminta mengulas mengenai penyebaran fitnah oleh pihak tertentu yang cuba mengaitkan Kerajaan Terengganu dan PAS dengan insiden kekasaran terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) di Kemaman baru-baru ini.

Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata segala fakta perlu diteliti sebaik mungkin dan bukan membuat tuduhan melulu bagi mengelak timbulnya fitnah memandangkan kes itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai pihak di seluruh negara.

"Cuma, saya minta kepada semua pihak di luar sana supaya meneliti fakta sebenar dan mengelakkan fitnah (berkenaan kes ini) sebab saya lihat sangat viral (tular) fitnah kiri dan kanan yang sangat tidak berasas.

"Berkenaan kes ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya malah ia telah pun di peringkat akhir siasatan sebelum diberi kepada pihak berikutnya,

"Berpolitik, politik juga tetapi fitnah jangan diamalkan sebab itu tanggungjawab kita dengan tuhan, kalau nak jawab di hadapan tuhan, silakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini pada Rabu. 

Tambah Ahmad Samsuri, perkara tersebut juga disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan ADUN Chukai, Hanafiah Mat baru-baru ini.

"Saya tak nak komen lebih lanjut cuma saya rasa cukup dengan apa yang disebut oleh ADUN Chukai dan ADUN Kijal yang juga selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini," jelasnya.


Tag: