MARANG, 17 Februari - Bergiat aktif sebagai pempengaruh aplikasi 'Bigo live' sejak 2021, gadis dari Kampung Jerung Surau, Syafiqah Rashid, 25, mampu meraih pendapatan hampir RM6,000 sebulan.

Katanya, dia sangat meminati bidang berkaitan media sosial dan memasang tekad untuk terus memanfaatkan kelebihan platform itu. 

"Saya akui untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah menjadi satu halangan apabila ada usaha daripada kita.

"Sebelum ini saya merasakan cukup sukar untuk meraih pendapatan bulanan sedemikian, namun setelah belajar daripada beberapa 'influencer' saya mampu melangkah ke depan.

"Dulu, sukar untuk saya jadi seperti sekarang, kena kerja dari pagi sampai malam, penat lagi, nak dapat RM2,000 pun susah, dengan pendapatan sekarang, sekurang-kurang saya mempu membantu keluarga," jelasnya ketika ditemui UPDI semalam.

Syafiqah Rashid yang sedang dalam pengambaran untuk dimuat naik ke You Tube.

Menurut lulusan Diploma Pengurusan Zakat Wakaf, Kolej profesional Baitulmal itu, 'gaji' tersebut diperolehi selepas dia berjaya mengumpulkan 26 ribu pengikut.

Katanya, setiap kali bersiaran langsung di aplikasi berkenaan, dia menjadikan topik atau tips masakan kampung dan penjagaan kecantikan serta tutorial penggunaan alat solek sebagai bahan menjana wang.

"Daripada 26 ribu pengikut itu, ramai yang meminati topik berkenaan dan memberi galakan setiap kali saya bersiaran," jelasnya.

Ditanya mengenai 'Bigo live' yang mempunyai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana kandungan melampaui batas, Syafiqah berkata dia mahu merubah persepsi itu.

"Sama juga juga tik tok sebelum ini, banyak kandungan negatif kerana kurang individu yang mengetengahkan 'content' positif.

"Bagi saya, selagi kita menggunakan sesuatu platform itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai, ia tiada masalah, 

"Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pun pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah untuk menggunakan aplikasi itu selagi bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syafiqah turut menjelaskan dia sedang memperluaskan 'content' media sosialnya ke You Tube.

"Saya juga boleh menambah pendapatan dengan menjual biskut buatan tangan secara atas talian di dalam aplikasi shopee dan juga instagram," jelasnya.