• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Gagal SPM, Dorong Muhammad Asyraf Raih Kejayaan

Muhammad Asyraf (kanan) dan R Malvindran (kiri) menunjukkan anugerah yang diterima. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Gagal memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi pendorong kepada Muhammad Asyraf Afif Ramli, 26, untuk mencapai kejayaan sewaktu menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Keazamannya itu membuahkan hasil apabila Muhammad Asyraf dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen UMT Ke-15, di atas kecemerlangannya memperoleh Anugerah Dekan bagi semua lapan semester, semalam.

Penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling itu sebak dengan kejayaan diraihnya, sekali gus gembira dapat membanggakan kedua ibu bapanya dan membuktikan dia juga mampu cemerlang dalam akademik seperti adik beradiknya yang lain.

"Dahulunya saya seorang yang tiada keyakinan diri. Malah, keputusan SPM juga tidak membanggakan sehingga saya tidak mendapat tawaran daripada mana-mana universiti awam.

"Namun, peluang melanjutkan pengajian ke UMT saya gunakan sepenuhnya untuk menebus kekecewaan lalu dan alhamdulillah segala usaha keras saya berbaloi apabila dipilih menerima anugerah kecemerlangan tertinggi ini," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UMT Ke-15 di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, UMT.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen berkenaan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga gemar mengikuti program sukarelawan sehingga dianugerahkan sebagai Tokoh Siswa 2016 dalam kategori Pemimpin Sukarelawan (Terbuka) di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah penuntut Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, R Malvindran, 24.

Malvindran berkata, kejayaan itu diharap dapat membolehkannya membantu mengubah kehidupan keluarganya selepas bekerja kelak.

"Ayah saya bekerja sebagai pemandu van sekolah dan ibu hanya suri rumah. Setiap kali cuti semester saya akan bekerja sebagai guru tuisyen bagi membantu keluarga.

"Saya harap kejayaan ini akan dapat membantu keluarga dan ayah saya tidak perlu bekerja lagi selepas ini," katanya.

Malvindran turut aktif dalam bidang kokurikulum, dan tesis yang dihasilkan beliau dipilih untuk dibahaskan serta diterbitkan ketika menyertai Persidangan Pendidikan Antarabangsa di Hong Kong, Mei lalu.

Seramai 2,717 graduan diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung semalam hingga esok.

Tag: