• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Gantung Ahli Parlimen Machang Langkah Undur ke Belakang

MARANG, 20 Julai - Tindakan mengantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan dilihat suatu langkah tidak wajar dan mundur ke belakang.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu juga dibuat dengan cara yang tidak betul apabila menafikan hak untuk Ahli Parlimen itu bercakap atas isu dibangkitkan.

"Sepatutnya boleh diambil tindakan dengan cara yang lain sekiranya didapati melakukan kesilapan kerana kita ada banyak jawatankuasa hak dan sebagainya yang doleh mengambil pendekatan untuk melakukan teguran dan sebagainya.

"Tetapi kenapa 'disilentkan' Ahli Parlimen Machang dengan pengantungan selama enam bulan?.

"Jadi saya tidak faham apakah bentuk sistem demokrasi yang kita hendak bawa untuk memastikan Malaysia maju ke depan di masa yang akan datang, ini seolah-olah kita balik ke belakang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut Daerah Marang, di sini, semalam.

Dalam pada itu beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata Perikatan Nasional (PN) belum memutuskan calon yang akan diletakkan untuk Pilihan  Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

"Jadi tidak perlu ada pihak yang sibuk-sibuk mahu mencaturkan PN.

"Kanapa ada pihak hendak sibuk-sibuk minta supaya meletakkan calon daripada PAS, ikut kitalah hendak letak siapa calon, orang mana, siapa, umur berapa, kerja apa kerana semua itu kita akan putuskan berdasarkan pertimbangan kita untuk mengekalkan kemenangan PN," ujarnya.


Tag: