Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular

 

Oleh : Adli Mohamad

HULU TERENGGANU, 3 Ogos- Fatimah Jusoh, 71,  atau lebih mesra dikenali sebagai 'Mok Nah' dari Kampung Matang tidak menyangka dirinya tular di media sosial, gara-gara  lelaki berbasikal dari Kuala Lumpur yang singgah di kediamannya.

Mok Nah berkata, layanan baik terhadap tetamu merupakan kebiasaan pada dirinya termasuklah kepada lelaki datang dari Kuala Lumpur tersebut. 

"Tidak perlu nak dihebohkan, kalau boleh biarlah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Lagi pula Mok Nah lihat lelaki itu tercegat di hadapan kedai dalam kepenatan. Masa nak bayar tu Mok Nah bergurau dengan dia, Mok Nah kata raya-raya ni mana ada kedai, tak bagitau hal sebenar bahawa kediaman itu juga merupakan kedai sebenarnya.

"Mok Nah terkejut apabila dimaklumkan oleh anak dan cucu bahawa seluruh Malaysia dah tahu mengenai perkara ini. Kebetulan ketika lelaki itu datang, dia dijamu dengan Nasi Dagang. Kalau hari biasa memang Mok Nah berjualan Nasi Minyak, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Nasi Lemak," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Kampung Matang, hari ini. 

Katanya, kerana peristiwa yang ditularkan Mohd Karbi Mominin, 51, dari Kuala Lumpur itu yang berbasikal seorang diri ke Kuala Berang, dia menerima panggilan tidak henti-henti sejak hari itu. 

"Semalam sahaja lebih dari 13 panggilan yang diterima, dan ada juga dari wartawan-wartawan, tapi Mok Nah tidak selesa menjadi hebahan,"jelasnya.

Mengulas mengenai lelaki berkenaan, katanya pada hari tersebut, lelaki berkenaan kelihatan agak penat. 

"Berhenti di depan rumah, dia kata payah nak temui kedai makan, jadi jemputlah dia makan, suka sangat dia makan Nasi Dagang dari Terengganu, tambah pula saya bercakap didalam 'loghat' Terengganu lagi dia suka, ketika hendak balik saya hendak bagi dia makanan sebagai bekalan takut lapar tengah jalan.

"Dia kata sukar hendak bawa bekal makanan kerana dia hanya berbasikal. Sebelum balik sempat dia ambil gambar saya, saya kata pada dia buat apa hendak ambil gambar orang tua ni, tak sangka untuk dihebahkan di media sosial menceritakan pengalamannya," ujarnya.

Terdahulu, Mohd Karbi telah memuatnaik status di facebook miliknya tentang kejadian tersebut  selepas singgah di rumah yang disangkakan kedai  selepas melakukan kayuhan 70 km, dari Tasik Kenyir setelah kepenatan dan ingin mendapatkan makanan.