Gelanggang "Al-Battar" Sinar Baru Khazanah Bani Melayu

KEMAMAN, 8 Oktober - Majlis perasmian pembukaan gelanggang silat seni gayong serantau Al-Battar (Gelanggang Awam Kemasik) yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili menjadi gelanggang baharu sukan silat bagi masyarakat di sini.

Tenaga pengajarnya, Wan Ahmad Faiz Wan Razali berkata, idea untuk mewujudkan gelanggang itu adalah susulan daripada permintaan pemuda-pemuda sekitar Kemasik untuk pempelajari ilmu mempertahankan diri.

"Kerana ilmu ini, semakin tenggelam dan dilupakan oleh anak-anak muda bangsa kita pada zaman sekarang," katanya.

Wan Ahmad Faiz Wan Razali.

Oleh itu, beliau telah mengambil satu inisiatif untuk memperkembangkan lagi dan mengajar ilmu-ilmu yang telah diturunkan oleh guru-gurunya sebelum ini.

"Dengan mempelajari dan mendalami ilmu mempertahankan diri, ianya akan menjadikan diri kita ini semakin utuh jiwa serta dapat mengeratkan silaturahim sesama kita," katanya.

Majlis itu telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kiri Kemasik. Hadir sama, ketua-ketua kelab seni gayong serantau Terengganu dan pertubuhan seni gayong serantau Malaysia serta orang awam.

Sementara itu, Ahli Lembaga Waris Amanah, Ghazali Harun atau dikenali sebagai 'Pok Li' berkata, mereka akan cuba sedaya upaya untuk mengembangkan ilmu bela diri itu di seluruh pelusuk bumi Terengganu.

"Kami dididik bagi menanam dan memberi kefahaman kepada anak-anak didik. Supaya menjadikan junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai idola kita, mereka yakni anak-anak didik diberi pendedahan bahawa Nabi kita adalah seorang panglima perang, seorang pemimpin dan segala-galanya.

"Kami cuba mendidik diri dan anak-anak didik supaya kasih akan risalah langit, kasih kepada ulama dan kasih terhadap umarak.

Ir Saiful Azmi Suhaili (kiri) dan Ghazali Harun (kanan).

"Seseorang akan memiliki bekal untuk menangkis serangan serta mematahkan usaha lawannya sewaktu diacam dengan fizikal, sama-samalah kita berusaha menggali khazanah bani melayu yang sangat tinggi nilainya," ujarnya.