HULU TERENGGANU, 1 Ogos - Tsunami Perikatan Nasional (PN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dijangka jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu terutama di Terengganu.
Ketua Pemuda PAS DUN Telemong, Mohamad Yusuf Abdullah, 33, berkata, momentum PRN kali ini dengan gelombang hijau memperlihatkan angin perubahan rakyat untuk terus menyokong PN.
Menurut beliau, antara sebab rakyat menyokong PN apabila wujudnya kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
"Jelas bahawa sentimen kaum dan agama sentiasa menjadi faktor penentu dalam pilihan raya melibatkan parti-parti bersifat komunal dan normal.
"Ini termasuk undi protes terhadap BN bakal menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan besar PN pada PRN DUN ke 15 tidak lama lagi" ujarnya kepada pemberita.
Tambahnya lagi, Gelombang Sanusi di Kedah juga menjadi salah satu penyumbang penolakan terhadap BN/PH pada PRN nanti.
Jelas beliau, pencapaian PN pada PRU ke 15 lepas, jelas menunjukkan peralihan pengundi Melayu Islam menghantar isyarat gelombang besar bahawa mereka menolak BN.
Mohamad Yusuf juga berkata, rakyat semakin cerdik dengan politik dan semakin bijak memilih parti dan calon yang mana kriteria utama pemilihan pengundi adalah mahukan pemimpin yang bersih.