Generasi Al-Quran Tonggak Masa Hadapan
HULU TERENGGANU, 2 Mei - Generasi al-Quran terutamanya golongan belia dan beliawanis menjadi harapan semua pihak untuk memimpin negeri di masa hadapan dengan acuan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagi memenuhi hasrat itu semua pihak harus memberi kepercayaan dan tidak jemu untuk berusaha melahirkan anak muda berwibawa.
"Kerana itu pembangunan belia menjadi keutamaan kerana kita tahu mereka akan menyambung kepimpinan negeri.
"Sebagai sebuah kerajaan yang menjadikan Maju, Berkat dan Sejahtera sebagai 'tagline' perkara tersebut sangat dititikberatkan.
"Supaya al-Quran berada di dalam jiwa agar belia dan beliawanis ini beramal dengan al-Quran melalui tindak tanduk, budi pekerti dan sebagainya yang menjamin masa depan negeri serta negara agar gemilang dan terbilang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Belia Terengganu Bertadarus, di Masjid Ar-Ridha, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun, Urusetia Belia Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) , Mohd Nasir Abdul Razak dan Pengerusi Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Terengganu (PBSST), Mohamad Yusuf Abdullah.
Mengulas mengenai penganjuran program tersebut, beliau berkata ia sangat baik serta bertepatan dengan usaha kerajaan selama ini.
"Saya mengucapkan syabas kepada PBSST dan UBSNT, ia sangat baik perlu diteruskan, bukan hanya dilakukan pada bulan Ramadan ini sahaja," katanya.
Sementara itu, Yusuf berkata program yang diadakan tersebut merupakan julung-julung kali diadakan selepas tertubuhnya persatuan berkenaan pada dua tahun lepas.
"Melibatkan seluruh belia dan beliawanis bermula 16 Ramadan dilaksanakan di seluruh daerah dan pada malam ini menjadi kemuncak program.
"Tujuan diadakan sebagaimana hasrat kerajaan bagi melahirkan generasi cakna al-Quran yang menjadikanya panduan hidup.
"Kita akan jadikan program ini sebagai acara tahunan di negeri ini, dalam usaha bagi memastikan ia dihayati sebagai kitab panduan yang paling agung," katanya.