Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
KUALA TERENGGANU, 19 April - Seramai 962 usahawan informal dan mikro negeri ini yang terkesan banjir menerima geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) bernilai RM2.9 juta oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya TEKUN Nasional.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan berkenaan akan selesai diberikan sebelum Hari Raya Aidilfitri dengan masing-masing akan menerima RM3,000 secara 'one-off'
"Peruntukan secara keseluruhan adalah sebanyak RM50 juta akan memberikan manfaat kepada lebih 16,000 usahawan di seluruh negara di mana permohonan untuk geran ini telah bermula 22 Februari 2022 lalu dan telah ditutup pada 19 Mac 2022," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya selepas merasmikan, Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia, di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TEKUN Nasional merangakap Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd kadir, Ketua Pegawai Eksekuti TEKUN Nasional, Dato' Adam Abd Ghani, Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia, Mohamed Shamir Abdul Aziz serta Pengurus TEKUN Negeri Terengganu, Ghazali Hussin.
Dalam pada itu Noh berkata, pinjaman RM100,000 untuk usahawan yang terlibat dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) masih lagi dibuka dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM100 juta dan mengharapkan agar seramai mungkin pengusaha industri membuat permohonan.
Sementara itu, Shaharizukirnain berkata bantuan serta inisiatif seumpama itu sangat penting dalam membantu usahawan memantapkan kembali keupayaan dan perusahaan mereka setelah berhadapan tempoh sukar sebelum ini.
"Agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Bank Rakyat misalnya akan mampu membantu untuk menambahkan modal perniagaan dan seterusnya melonjakkan pendapatan dan taraf hidup usahawan.
"Saya juga berharap agar agensi-agensi di bawah KUSKOP ini akan mempertingkatkan usaha bagi memberikan bimbingan, khidmat nasihat dan pembiayaan perniagaan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederahana (PMKS)," ujarnya.
Mengenai bantuan BBKM, kata Shaharizukirnain ia sangat wajar bagi memulihkan kembali PMKS.
"Ini terbukti melalui data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, menunjukkan bahawa sumbangan PMKS ini kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 38.2 peratus, ia menjadi indikator sebagaimana yang ditunjukkan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman bahawa industri berkenaan telah menyumbang lebih 50 peratus kepada KDNK negara berkenaan.
"Saya ingin melahirkan perasaan bangga kepada usahawan-usahawan yang terlibat ini kerapada dapat hidup berdikari secara 'self-employment dan telah menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan yang diceburi untuk keperluan diri dan keluarga selain mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perusahaan ini," ujarnya.