Gergasi Merah 'Tenggelam' Di Pantai Timur

KUALA NERUS, 22 April- Terengganu FC mudah menewaskan Selangor FC dalam aksi ni keempat Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.

Beraksi di laman sendiri, pengendali Skuad Penyu Nafuzi Zain mempertaruhkan pemain Filipina, Luke Woodland bagi menggantikan Petrus Shitembi yang cedera dalam perlawanan menentang Sarawak United tempoh hari.

Terengganu FC mempamerkan corak permainan pantas sejak wisel ditiupkan bagi mengulangi kemenangan sulung, hujung minggu lalu.

Pada minit ke-20 penyerang lincah, Faisal Halim yang menerima umpanan Habib Haroon meledak gol pendahuluan setelah menewaskan dua pertahanan sebelum rembatan derasnya melepasi jangkauan Mohd Khairul Azhan.

Selangor FC yang belum tewas musim ini, cuba bangkit namun rembatan leret Herlison Caion setelah menerima lorongan Mukhairi Ajmal berjaya ditepis Muhammad Rahadiazli pada minit ke-26.

10 minit kemudian, tuan rumah hampir menambah jaring berpunca kesilapan Shahril Nazeem mengeluarkan bola, Syafik melakukan volley rendah ke sisi gol.

Keputusan kekal 1-0 pada separuh masa.

Bersambung babak kedua, Red Giant merancakkan serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-50, mujur rembatan Mohd Syahir Bashah ditepis Rahadiazli.

Seminit kemudian, rembatan susulan Yazan Al-Arab yang menewaskan penjaga gol berjaya dikeluarkan Muhammad Shahrul Nizam.

Pemain kesayangan ramai, Habib Haroon cemerlang mendominasi kawasan tengah pasukan.

Skuad penyu kembali mendapat tonik pada minit ke-60 apabila Muhammad Syafik Ismail dijatuhkan Yazan Al-Arab dalam kotak penalti.

Kapten pasukan, Tcheche Kipre tenang menyempurnakan jaringan menjarakkan jurang kepada 2-0.

Pelawat terus buntu mencipta jaringan, menjadikan Terengganu FC kekal mengatasi 2-0 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Skuad kendalian Nafuzi naik ke tangga ketujuh liga dengan enam mata, menolak Red Giant ke tangga kelapan dengan lima mata.

 

 

 

 

 


Tag: