• 07 Nov 2024 | 05 Jamadil Awal 1446

GLC Terengganu Bina 712 Rumah Untuk Pekerja

SETIU, 20 Julai - Sarikat berkaitan kerajaan negeri, TDM Berhad melalui TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) membina 712 unit rumah bagi menggantikan kediaman yang telah usang dan memastikan kebajikan staf terbela.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM70 juta itu disasarkan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun bermula 20 Oktober 2021.

"Hari ini telah diserahkan dulu sebanyak 56 unit rumah yang telah siap kepada penerima, manakala 24 unit lagi kini dalam pembinaan dan 200 unit lagi dijangka akan mula dibina pada tahun ini.

"Kita memulakan projek pembinaan rumah bagi menggantikan rumah lama ini dijalankan secara berperingkat melibatkan empat fasa.

"Tujuannya adalah untuk menambahkan keselesaan, daripada rumah kayu yang tidak selesa kepada rumah yang lebih kondusif untuk memberikan keselesaan kepada pekerja bersama anak dan keluarga," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Pekerja, di Ladang jaya Sungai Tong, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang penerima, Yusri Afindi Abd Rahman, 48, tidak menyangka rumah yang diterima sangat baik dan selesa serta dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu bilik utiliti dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

"Alhamdulillah ahirnya hajat saya tercapai, dengan pendapatan saya sebagai pekerja ladang walaupun telah berkerja selama 23 tahun rasanya saya tidak berkeupayaan untuk memiliki rumah seumpama ini.

"Pada awalnya menyangkakan hanya akan dibina rumah biasa-biasa sahaja, saya sangat gembira dan terasa kebajikan setelah sekian lama bekerja di sini terbela," katanya.

Seorang lagi penerima Rosliza Mohd, 32, juga turut menzahirkan perasaan teruja dengan apa yang telah diperolehi.

"Gembira, kerana inilah yang telah dinantikan sejak sekian lama. Saya sebelum ini telah dimaklumkan oleh pihak majikan bahawa rumah sebelum ini akan diganti kepada rumah baru, cuma tidak menyangka rumah yang akan diberikan begitu selesa untuk kami bersama dua anak.

"Saya memang tinggal di sini sekian lama, dilahirkan di sini kerana sebelum ini orang tua saya bekerja di ladang ini, kini saya dan suami. Mohd Hafizzal Salleh juga turut berkerja di sini, Alhamdulillah dengan rezeki yang diperolehi ini, rumah yang lama telah pun berganti baru," ujarnya.