lightning-solid
Berita :
GLC Terengganu Jana Pulangan, KUTT Serah Royalti RM697,131
GLC Terengganu Jana Pulangan, KUTT Serah Royalti RM697,131
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) menyerahkan bayaran royalti berjumlah RM697,131.03 bagi tahun 2025 kepada Kerajaan Negeri Terengganu, membuktikan prestasi kewangan kukuh serta sumbangan berterusan syarikat GLC negeri kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penyerahan tersebut mencerminkan iltizam berterusan KUTT dalam menunaikan tanggungjawab korporat kepada kerajaan negeri, di samping memperkasa ekonomi dan pembangunan infrastruktur utiliti Terengganu.

“KUTT telah dipertanggungjawabkan membangunkan Koridor Utiliti Negeri Terengganu termasuk penyediaan pangkalan data bersepadu melibatkan jajaran utiliti seperti tenaga elektrik, bekalan air, telekomunikasi, paip gas, sistem kumbahan dan utiliti lain di rezab jalan negeri.

“Berpandukan kepada perjanjian konsesi antara KUTT dan Kerajaan Negeri, KUTT diwajibkan mengembalikan semula daripada pendapatan sebagai kontribusi kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Sesi Penyerahan ‘Mock Cheque’ di Kediaman Seri Islam, Batu Buruk, hari ini. 

Dr. Samsuri turut  merakamkan penghargaan kepada KUTT atas kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Terengganu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili, berkata pencapaian tersebut didorong oleh prestasi cemerlang semua bahagian syarikat, sekali gus membolehkan KUTT terus menunaikan tanggungjawab kepada kerajaan negeri.

“Penyerahan mock cheque ini diadakan sebagai simbolik komitmen berterusan pihak syarikat dalam menunaikan tanggungjawab kepada Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya. 

Penyerahan cek kepada Menteri Besar Terengganu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dato’ Hanafiah Mat

Beliau menambah, majlis simbolik itu menzahirkan komitmen berterusan KUTT dalam menyumbang kepada ekonomi negeri melalui nilai tambah pekerjaan, pembangunan kemahiran, penambahbaikan proses pihak berkepentingan, serta pemerkasaan data utiliti negeri yang lebih lengkap dan terperinci.

“Dalam masa yang sama keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat negeri Terenggani,” tambah beliau lagi. 



Tag :

Artikel Berkaitan