lightning-solid
Berita :
Gol Minit Akhir Selamatkan Terengganu FC
Gol Minit Akhir Selamatkan Terengganu FC
Mohd Irsyadi Abu Bakar
3 jam yang lepas
35

KUALA NERUS, 6 Disember - Terengganu FC bangkit mengutip satu mata setelah seri 1-1 menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), semalam.

Sekalipun beraksi di halaman sendiri, skuad kendalian Badrul Afzan Razali tampak goyah seawal minit pertama perlawanan tanpa kehadiran Yann Mabella yang dilanda kecederaan.

Sebaliknya, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang lebih banyak menguasai bola di kawasan lawan.

Pada minit keempat, Danial Asri berjaya melakukan percubaan, namun berjaya ditepis keluar Suhaimi Husin, yang diberi amanah mengawal gawang Terengganu FC malam ini.

Empat minit berselang, penyerang kelahiran Brazil Gabriel Costa hampir meletakkan tuan rumah di hadapan tetapi percubaannya tepat ke dakapan Haziq Nadzli.

Terengganu FC turut mendapat peluang pada minit ke-13 apabila Careca menerima umpanan Akhyar Rashid, bagaimanapun rembatannya melambung tinggi.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-42, apabila Gabriel berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan, namun bola tolakannya sekadar melintasi pintu gol lawan.

IMG-20251205-WA0063.jpg 350.6 KB
Pada minit ke-44, pemain kelahiran Namibia, Petrus Shitembi akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan setelah menewaskan Suhaimi untuk Kuching City selesa dengan kelebihan satu gol pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sang Penyu tampil berbeza dengan lebih banyak melakukan serangan ke kubu pelawat.

Akhyar cuba menyamakan kedudukan menerusi gol pada minit ke-47, tetapi pengadil perlawanan Mohamad Nawal Mohammad Zubir memutuskan jaringan tersebut tidak dikira kerana offside.
IMG-20251205-WA0061.jpg 355.37 KB
Terengganu FC terus bergelut untuk menyamakan kedudukan tetapi Haziq Nadzli cemerlang menafikan setiap peluang.

Memasuki masa tambahan, Engku Muhammad Syakir berjaya menjaringkan gol penyamaan setelah menerima umpanan Muhammad Khalaif Mohd Naskam, membolehkan tuan rumah meraih satu mata dalam perlawanan tersebut.

Perlawanan diteruskan namun dihentikan pengadil setelah berlaku insiden pergaduhan antara kedua-dua pasukan, menyaksikan Safwan Mazlan dan Filemon Anyie dilayangkan kad merah.

Keputusan 1-1  meletakkan Terengganu FC di kedudukan kelima Liga Super Malaysia 2025 dengan 15 mata.

Terengganu FC akan berkunjung ke Batu Kawan menentang Imigresen FC pada 19 Disember, sebelum melayan kunjungan seteru dari Borneo, Sabah FC pada 23 Disember.


Tag :

Artikel Berkaitan