Gol Tempat Lawan Bukan Kelebihan
Keputusan seri 1-1 menentang Kelantan dalam perlawanan akhir pertama Piala Presiden 2016 pada 18 Oktober lalu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu bukanlah satu kelebihan untuk T-Team.
Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata pemain perlu fokus untuk menang dalam saingan akhir kedua yang akan berlangsung esok di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan tidak mengharapkan gol ditempat lawan baru-baru ini.
“Untuk bermain dalam tempoh 90 minit tanpa jaringan dari kedua-dua pihak adalah suatu yang amat sukar kerana ianya satu tempoh yang panjang.
“Keutamaan kami untuk malam esok adalah supaya tidak bolos dan dalam masa yang sama cuba menjaringkan gol bagi menjamin kemenangan pasukan,” katanya yang ditemui di Pejabat T-Team, Kuala Terengganu, hari ini.
Tambahnya, misi untuk esok adalah bagi memburu kejuaraan pertama sekaligus membawa pulang satu piala ke Terengganu khas untuk peminat bola sepak negeri yang sebelum ini mengharapkannya dari dua pasukan senior.
Beliau berkata, pemain dari Liga Super juga mungkin diturunkan dalam senarai kesebelasan utama untuk menentang pasukan Kelantan esok.
“Masalah utama kepada pasukan adalah ramai diantara pemain kita mempunyai kecederaan. Muhammad Sapawi Rasid mungkin akan diturunkan jika pemain utama kami tidak sempat pulih sepenuhnya menjelang esok,” katanya.
Bagi kapten pasukan tersebut, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri berkata semua pemain telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menentang Kelantan.
“Untuk esok, kami akan mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan.
“Kami akan lakukan yang terbaik untuk peminat bola sepak di negeri ini dan membawa pulang Piala Presiden ke Terengganu,” katanya.