MARANG, 7 Januari - Golongan petani dan nelayan perlu berani berubah sikap untuk keluar dari kehidupan lama yang sering dikaitkan dengan kemiskinan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka perlu berani menggunakan pendekatan lebih moden sekali gus mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.
"Bila sebut pertanian, ia menjadi satu bidang yang dikaitkan dengan kemiskinan dan semua bergantung kepada kerajaan terutamanya pada musim-musim tertentu. Bila berlaku sesuatu, mereka yang pertama menderita.
"Sudah tiba masanya mereka fikir apa sebabnya tidak dapat tambah pendapatan dengan menceburi bidang baharu seperti perniagaan dan industri berasaskan hasil produk tempatan yang ada di sekeliling mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Warga Tani Terengganu melibatkan 600 orang petani, peladang, penternak dan nelayan di negeri ini yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini petang tadi.
Turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sallehuddin Ayob.
Tambah Tun Dr. Mahathir lagi, Kerajaan Pusat juga sedang mencari langkah serta cara terbaik untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan ini supaya tidak lagi hidup dalam kemiskinan.
"Jangan bergantung kepada wang percuma sahaja tetapi tambah hasil pengeluaran untuk tingkatkan pendapatan masing-masing ke arah perubahan skala yang lebih besar.
"Saya tidak percaya melalui bantuan kerajaan akan dapat membantu mengubah kehidupan mereka, sebaliknya apa yang lebih baik ialah melalui usaha mereka sendiri," katanya.