Gotong-Royong Bersihkan Rumah Keluarga Anak Istimewa
Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 15 April- Pelbagai pihak tampil melakukan gotong-royong membersihkan rumah seorang ibu tunggal Masitah Ibrahim di Kampung Oh, Jabi, semalam.
Masitah,46, yang baru kematian suami bulan lalu tinggal di rumah berkenaan bersama dua orang anak dimana salah seorang daripadanya adalah anak istimewa berusia sembilan tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti gotong-royong seumpama itu perlu diterapkan dalam masyarakat selaras dengan tuntutan agama agar saling membantu antara satu sama lain.
“Manfaatkanlah waktu hujung minggu untuk menghidupkan suasana bermasyarakat dan saling membantu antara satu sama lain. Seberat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
“Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua dengan kita bantu mempermudahkan urusan orang lain,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peralatan perabut kelengkapan rumah serta bantuan wang tunai kepada Masitah.
Seramai 46 orang terlibat dalam program komuniti itu yang merupakan kerjasama antara Kelab Kaunselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, Pusat Khidmat Adun Jabi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Oh.
Dr Azman yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri, amat berharap agar usaha yang dilakukan pelbagai pihak tersebut dapat meringankan beban ditanggung ibu tunggal terbabit.
“Terima kasih kepada semua yang menyumbang tenaga membersihkan rumah keluarga ini yang mana seorang lagi anak Masitah merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Renek turut bergelar anak yatim setelah pemergian arwah ayahnya pada bulan lepas.
“Terima kasih kepada semua yang menyumbang tenaga membersihkan rumah keluarga ini yang mana seorang lagi anak Masitah merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Renek turut bergelar anak yatim setelah pemergian arwah ayahnya pada bulan lepas.
“Semoga melalui kerja-kerja sukarela yang dilakukan ini, mereka sekeluarga dapat tinggal di rumah dalam keadaan yang lebih selesa disamping dapat mengukuhkan silaturahim dan menggambarkan kecaknaan kita terhadap mereka yang kurang bernasib baik,” ujarnya.