GPQ Berjaya Dapatkan Kontrak Projek Mega Pembangunan Quran Village Di Putrajaya

KUALA TERENGGANU, 21 Januari–Anak syarikat Terengganu Inc, GPQ Sdn. Bhd telah dianugerahkan kontrak projek mega pembangunan Quran Village di Presint 14, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Mohd Suhaimie Ismail berkata, ia melibatkan pembinaan masjid kariah dan pelbagai infrastruktur dengan nilai kontrak sebanyak RM 78.38 juta di kawasan seluas tujuh ekar. 

"Quran Village merupakan projek milik Perbadanan Putrajaya yang akan memberikan satu tarikan baru di Putrajaya apabila projek ini siap kelak.

"Ia dijadualkan mengambil masa 36 bulan untuk pembangunan secara berperingkat dan dijangka siap pada Februari 2027," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut merupakan salah satu inisiatif penting GPQ dalam memperkukuhkan kehadiran syarikat di Lembah Klang dan menandakan langkah 
strategik syarikat dalam menembusi pasaran di luarTerengganu.

"Selaras dengan visi untuk memperluaskan capaian perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi, projek ini mencetus halatuju baru GPQ sebagai kontraktor berpotensi di  Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, projek terbabit merupakan penanda aras komitmen anak syarikat kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baru bagi mendukung perlaksanaan inisiatif ekonomi dan pelaburan strategik yang mapan untuk Negeri Terengganu.

"Projek Pembangunan Quran Village Fasa 1 adalah merupakan kesinambungan daripada Pembangunan Nasyrul Quran iaitu pusat menyalin dan percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia dan memartabatkan budaya Islamik dan ilmu Al-Quran khususnya kepada pelancong dari luar negara," jelasnya.