GPQ, KOPERAT Agih Jalur Gemilang Semarak Kemerdekaan

 Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor

KUALA TERENGGANU,29 Ogos- Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) dan  GPQ Sdn. Bhd. berkolaborasi mengagihkan 1,500 bendera Malaysia kepada orang ramai.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KOPERAT, Sr Zaharuddin Zahid berkata, kerjasama berkenaan bertujuan menyemarakkan bulan kemerdekaan dan menyemai semangat kecintaan kepada negara.

“Agihan jalur gemilang oleh GPQ dan KOPERAT ini dilaksanakan setiap tahun bertujuan menaikkan semangat masyarakat untuk menyambut kemerdekaan Malaysia.

“Kita harap dengan adanya agihan bendera seperti yang dibuat oleh kedua-dua GLC akan dapat menyemarakkan lagi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pengagihan jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan Ke-67 di Pasar Payang, di sini, semalam.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, sambutan orang ramai sangat memberansangkan termasuk pengunjung luar Terengganu .

“Mereka sangat teruja dengan agihan bendera yang dilakukan dan kebetulan pada hari ini ramai dari luar Terengganu berkunjung ke Pasar Payang.

“Dengan adanya usaha yang kecil ini diharapkan dapat mengingatkan kita akan erti sebuah kemerdekaan,” ujarnya.