Graduan Syariah Buka Warung Ayam Penyet Berapi

MARANG, 10 Januari -  Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari luar negara, Mohd Farzlie Syafiq Mohd Ali, tidak segan mengusahakan Warung Nasi Ayam Penyet Berapi di perkarangan Masjid Rhu Rendang pada Januari 2019.

Tanpa pengalaman berniaga, cuma ada keberanian mencuba hasil resipi yang dipelajari dari seorang peniaga ketika belajar di Indonesia, kini warung Farzlie mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Farzlie berkata, idea untuk membuka warung makanan itu muncul selepas balik ke Malaysia ditambah dengan kekangan peluang pekerjaan.

"Ketika belajar di Indonesia, saya terinspirasi daripada seorang peniaga yang juga kini resepi berasaskan sambal penyet ini berjaya saya buka untuk diperkenalkan kepada masyarakat di sekitar sini.

"Masakan berasaskan penyet ini juga sentiasa mendapat tempat di kalangan masyarakat sekitar khususnya penggemar makanan atau santapan yang pedas-pedas, "katanya.

Selain ayam penyet, terdapat juga ikan talapia penyet, ikan keli penyet, ikan siakap penyet dan puyuh goreng penyet.

Menurutnya lagi, warung ini mula dibuka pada awal Januari 2019, dengan dibantu oleh keluarga pada permulaannya sehingga sekarang mempunyai seramai tiga orang pekerja.

"Kita juga menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dari Kampung Kelulut sehingga Cendering, malah warung ini juga berdaftar mempunyai perkhidmatan 'Food Panda'.

"Waktu beroperasi kedai ini adalah bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang, pada setiap hari kecuali hari Jumaat," tambahnya.

Kepada penggemar masakan pedas sambal penyet, boleh dapatkan maklumat terkini dengan mengunjungi laman rasmi Facebook 'Warung Ayam Penyet Berapi' atau cari lokasi di applikasi 'Google Maps'.

 


Tag: