‘Gugurkan’ Kes Sekutu Politik, Perundangan Era PH Bermasalah

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Beberapa peristiwa yang berlaku ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu seperti pengguguran kes sekutu politik membuktikan sistem perundangan Pakatan Harapan (PH) bermasalah.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia laksana lampu Aladdin yang memanggil jin iaitu untuk membebaskan pemimpin-pemimpin dengan cepat atau tidak melalui proses yang betul.

“Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan yang mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain. 

“Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya,” ujar Presiden PAS itu dalam satu kenyataan sempena setahun Pemerintahan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Tegas Abdul Hadi, kegelojohan PH tidak terhenti setakat itu sahaja apabila mereka turut ‘berebut’ menentukan kerusi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

“Laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar. Masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri, selepas beberapa hari pilihan raya berlalu. 

“Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari bahawa sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja,” jelasnya.

Katanya lagi, kedudukan pakatan politik PH yang rapuh juga memberi kesan besar kepada negara dan rakyat.

“Laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak. Bahkan sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara PAN dan PKR, apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” ujar Abdul Hadi.

Tambah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, kini wujud dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak berpolitik secara melampau ketika tempoh darurat tidak ubah seperti Burung Kasuari Padang Pasir.

“Padahal mereka tetap juga berpolitiking dengan mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.

“Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang,” katanya.


Tag: