HULU TERENGGANU, 21 September – Penubuhan Akademi Imam dan Bilal dicadangkan bagi melahirkan lebih ramai imam dan bilal, khususnya dengan memanfaatkan potensi anak-anak pondok untuk dibimbing dalam bidang berkenaan.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid berkata, usaha itu penting bagi memastikan keperluan imam dan bilal di masjid serta surau dapat dipenuhi.
“Kita ramai anak pondok yang boleh dibimbing untuk menjadi imam dan bilal,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Hulu Terengganu Tahun 1448H/2026M di Masjid Kampung Bukit Perah, Ajil, malam tadi.

Menurutnya, penghayatan al-Quran tidak seharusnya terhad kepada membaca, sebaliknya perlu disusuli dengan usaha memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan.
“Kehebatan al-Quran bukan pada banyaknya bacaan, tetapi sejauh mana kita memahami dan mengamalkannya,” katanya.

Rosol turut merakamkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta serta berharap program itu terus memperkukuh syiar Islam dan mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.