KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Seorang guru ditahan polis selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki sekolah menengah di sebuah sekolah di daerah ini, pada 10 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pelajar berkenaan pada 12 Ogos kira-kira pukul 4.04 petang.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi pada 10 Ogos, mangsa mendakwa suspek yang dikenalinya dan merupakan guru di sekolah berkenaan telah meraba beberapa anggota badannya.
“Pengadu turut mendakwa guru terbabit sebelum ini beberapa kali memeluk dan mencium pipinya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azli berkata, bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek, seorang lelaki Melayu yang juga guru kepada pengadu, pada 13 Ogos kira-kira pukul 11.10 pagi.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan dibenarkan selama enam hari bermula 14 hingga 19 Ogos ini.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan,” katanya.
Beliau berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.
Dalam pada itu, Azli menasihatkan ibu bapa supaya memberikan pendidikan awal kepada anak-anak berkaitan gangguan seksual selain memantau pergerakan harian mereka.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian, orang awam dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak polis Kuala Terengganu,” katanya