lightning-solid
Berita :
Hakim Danish Pulang Sebagai Juara, Jadi Buruan Pasukan Moto2 dan Moto3
Hakim Danish Pulang Sebagai Juara, Jadi Buruan Pasukan Moto2 dan Moto3
Muhamad Fazlee Aziz
1 jam yang lepas
47

Oleh: Nurul Natasha Surin

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pelumba negara, Muhammad Hakim Danish Ramli selamat tiba di tanah air selepas mencipta sejarah apabila menjuarai Grand Prix (GP) Republik Czech di Brno, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas perlumbaan dunia.

Ketibaan pelumba berusia 18 tahun itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 disambut meriah oleh ahli keluarga, penyokong serta peminat sukan permotoran yang hadir meraikan kejayaan wira muda negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pencapaian tersebut menjadi kebanggaan besar kepada negara, khususnya seluruh rakyat Terengganu.

“Alhamdulillah, tahniah dan selamat kembali kepada wira muda negara, Hakim Danish yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa selepas muncul juara GP Republik Czech baru-baru ini.

“Kejayaan ini membuktikan anak muda kita memiliki kemampuan untuk bersaing serta mencipta kegemilangan di pentas dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berharap Hakim Danish terus mengekalkan fokus, disiplin dan semangat juang tinggi dalam menghadapi setiap perlumbaan.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada atlet muda berpotensi seperti Hakim Danish agar mereka mampu mengharumkan nama negeri serta negara.

“Beliau bukan sahaja kebanggaan Terengganu, malah menjadi inspirasi kepada seluruh anak muda Malaysia supaya berani mengejar impian.

“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada Hakim Danish untuk terus melakar sejarah dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin memaklumkan, lebih lima pasukan ternama dalam saingan Moto2 dan Moto3 kini berminat mendapatkan khidmat Hakim Danish bagi menghadapi musim hadapan.

Jelas beliau, minat tersebut hadir susulan prestasi konsisten yang dipamerkan pelumba kelahiran Terengganu itu sepanjang musim ini, sekali gus memberi petanda positif terhadap perkembangan kariernya di peringkat antarabangsa.


Tag :

Artikel Berkaitan