KUALA TERENGGANU, 5 April - Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 mendapat kerja setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang .
Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung.
“Bilangan temuduga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temuduga, manakala jumlah yang berjaya untuk temuduga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus.
“Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya
Tambahnya lagi, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan hadapan adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Mohd Sahar Darusman Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.
Sementara itu, Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temuduga kedua.
"Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya.
“Bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan.
Seorang pemburu kerja, Suhaimi Ghani, 36 yang juga seorang penghantar barang di Manir menyifatkan usaha pihak penganjur amat membantunya dalam mencari pekerjaan baharu dalam bentuk ‘one-stop center’.
“Saya telah bertemu dengan tiga majikan, walaupun tiada jawapan lagi namun rezeki peluang cerah, orang macam saya tak perlu lagi pergi jauh-jauh mencari kerja kerana pelbagai jenis majikan ada di sini,” katanya selepas ditemu bual di meja SAA Engineering dan Marine Sdn Bhd.