Hanafiah Jawab Dakwaan Kerajaan Negeri Abai Loji Air

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Tular satu hantaran di laman sosial yang mendakwa Loji Rawatan Air (LRA) Sementara Pasir Tinggi dikatakan milik Syarikat Air Terengganu (SATU) dibiarkan usang dan tidak diselenggara seolah-olah sengaja memberi gambaran buruk kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, hantaran tersebut turut mempertikaikan peranan beliau sebagai Exco.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, ia satu isu yang cuba dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
 
“Untuk makluman, fasiliti ini bukan aset milikan Kerajaan Negeri atau SATU. 

“Fasiliti ini milik kontraktor Kuala Terengganu Utara (KTU) yang dipinjamkan kepada SATU semasa projek KTU,” ujar Hanafiah dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sejak Julai 2022 lagi kontraktor berkenaan diminta untuk membuka semula pembinaan tersebut untuk dialihkan.

“SATU hanya membayar kos alihan loji sementara ini dari lokasi asal di Pulau Bahagia ke lokasi sekarang di Pasir Tinggi,” ujarnya.


 


Tag: