KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat menegaskan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadap dirinya, selain memberi jaminan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak awal.
Menurutnya, sejak peringkat awal siasatan lagi, beliau bersama pasukannya telah menyerahkan semua dokumen diperlukan serta memberikan keterangan kepada pihak penyiasat tanpa sebarang halangan.
Hanafiah berkata, siasatan berkenaan bukanlah perkara baharu kerana ia telah bermula sejak beberapa tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut beliau sentiasa bersikap terbuka serta komited membantu pihak berkuasa.
“Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, beliau memahami bahawa suasana politik semasa boleh menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat, namun memilih untuk tidak mengulas perkara bersifat spekulatif.
Sebaliknya, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Cukai menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang dan yakin rakyat mampu menilai sesuatu isu secara adil berdasarkan fakta.
Dalam masa sama, beliau menegaskan fokusnya kekal kepada amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat dan berikrar akan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus mendoakan dan memberikan sokongan, sambil menyifatkan setiap ujian yang berlaku pasti mempunyai hikmah.