Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM

KEMAMAN, 8 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), semalam.

Beliau berkata, pelantikan ini bukanlah suatu anugerah, sebaliknya tanggungjawab dan amanah besar bagi memartabatkan peranan agensi ini dalam menguruskan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana dan sebagainya.

"Terima kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan kepercayaan ini kepada saya," katanya kepada pemberita.

Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai turut mengharapkan mampu menggalas dan melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya.

Sesi Penyerahan Vest dan Watikah Pelantikan Pegawai kehormat itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis itu berlangsung di Hotel Park Royal A'Famosa Melaka Resort, Alor Gajah, Melaka sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB).