Hariff Kekal Jersi Biru Jelajah Malaysia Di Gong Badak
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Saleh mengekalkan jersi Biru bagi saingan peringkat keempat Jelajah Malaysia 2016 yang berakhir di Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.
Beliau yang hanya mampu menamatkan saingan di tangga keempat hari ini, berkata, segala yang dirancang pada hari ini tidak berjalan seperti disasarkan.
"Walaupun rancangan dibuat tidak menjadi, namun saya dapat mengekalkan jersi Biru untuk peringkat keempat ini.
"Sebenarnya saya sedikit kecewa, tetapi untuk peringkat terakhir esok, saya akan lakukan yang terbaik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menamatkan saingan peringkat keempat Jelajah Malaysia 2016 di Gong Badak, Kuala Nerus.
Dalam saingan tersebut, pelumba kebangsaan, Muhammad Zawawi Azman yang mewakil NSC Mycron memenangi peringkat keempat Kejohanan Berbasikal Jelajah Malaysia dengan masa 2 jam 38 minit 27 saat.
Bagi tempat kedua dan ketiga pula, ianya dimenangi oleh Mark John Lexer Galedo yang mewakili 7 Eleven Sava RBP Philippines (2:38:27) dan Nik Mohd Azwan Zulkiflie dari Pasukan Kebangsaan Malaysia (2:38:34) yang turut memperoleh jersi Merah.
Untuk peringkat keempat, jersi Kuning menjadi milik Arvin Moazmu Godarzi yang mewakili Pishgaman Giant Team, manakala jersi Putih disarungkan kepada Jesse James Ewart dari 7 Eleven Sava RBP Philippines.
Peringkat keempat Jelajah Malaysia pada hari ini melibatkan jarak sejauh 125.20 km dari Machang ke Gong Badak dengan tiga zon pecutan di Jerteh, Rhu Sepuluh dan Mengabang Lekor.