HFMD: 5 Taska Ditutup, 34 Kes Dikesan

KUALA NERUS, 28 Mei- Lima Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPKT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini telah ditutup secara berperingkat susulan terdapat 34 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

TASKA terbabit melibatkan tiga di daerah Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Dungun dan Kemaman, ia ditutup dalam tempoh tiga hingga 10 hari bermula 17 Mei hingga 2 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, penutupannya adalah mengikut nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, pihak berkenaan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum mengarahkan ia ditutup bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.

"Setakat ini ia masih belum serius, namun begitu dinasihatkan kepada ibu bapa jika ternampak gejala ini bersegeralah mendapatkan rawatan di hospital dan jangan hantar anak yang bergejala ini ke TASKA bagi mengelakkan ia menular," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri  Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Hanafiah, kesedaran ibu bapa di negeri terhadap HFMD ini adalah tinggi.

"Namun semua diingatkan untuk berjaga-jaga serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap anak-anak mereka bagi mengelakkan penyakit ini daripada terus merebak," tambah beliau.