KUALA TERENGGANU, 22 Ogos- Golongan muda tanpa mengira fahaman politik dari ketiga-tiga negeri sewajarnya hadir pada Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur (HIMPUN) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu yang akan bermula kira-kira jam 6 petang ini
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Nasir Abd Razab berkata anak muda Terengganu, Pahang dan Kelantan perlu hadir sebagai tanda sokongan kukuh kepada kerajaan negeri sedia ada.
“Golongan itu adalah faktor utama pembangunan negara dan perlu hadir untuk mengetahui perkembangan semasa.
“Dengan sokongan kuat dari anak muda, pembangunan dan dasar-dasar kerajaan dapat diteruskan dengan jayanya.” Katanya ketika dihubungi wartawan Buletin Online
Mohd Nasir berkata HIMPUN adalah program julung kali diadakan membabitkan tiga Menteri Besar di pantai timur berada di atas satu pentas.
“Apa yang menariknya, difahamkan lebih 5,000 anak muda akan bermotosikal mengiringi tiga menteri besar ke tapak program melalui Jambatan Angkat.
“Oleh itu, dia berharap peserta konvoi dapat menjaga keselamatan dengan tunggangan yang cermat dan mematuhi segala arahan dari penganjur serta pihak keselamatan.
“Pakat hadir belaka, jangan ada anak muda yang ketinggalan, jaga akhlak dan batasan aurat.” Tegasnya.