HIMPUN: Fokus Kepada Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat


KUALA NERUS, 22 Ogos- Kepimpinan Negeri Pantai Timur diseru meletakkan fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam pentadbiran negeri, seterusnya menjadikan negeri-negeri ini sebagai negeri contoh di Malaysia.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai negeri yang ditadbir oleh pembangkang, Terengganu, Kelantan dan Pahang memikul amanah dan tanggungjawab besar yang harus dilunaskan untuk menjadi negeri terbaik dalam negara.

“Antara yang menjadi fokus utama termasuk menunaikan janji-janji manifesto PRU-14 sebagai bukti komitmen kerajaan negeri membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat. 

“Pentadbiran negeri di Pantai Timur juga mesti menjaga integriti dalam sebarang urusan pentadbiran bermula dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.

“Kita harus memperkasakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Kita tidak mahu terlalu banyak berpolitik, kita mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Himpunan Tiga Menteri Besar Pantai Timur di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob serta Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, agenda memajukan ekonomi negeri, pembangunan modal insan dan mencari penyelesaian membantu masalah rakyat perlu menjadi keutamaan untuk mempertahankan negeri yang telah dikuasai.



Tag: