HIMPUN: Jadi Perantara Penyatuan Rakyat


KUALA NERUS, 22 Ogos- Penganjuran Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur (HIMPUN) hari ini, pastinya mampu menjadi medan perhimpunan rakyat  dari seluruh Pantai Timur tanpa mengira fahaman politik dan peringkat umur.

Melaluinya kerajaan negeri  berhasrat untuk mencetus gelombang penyatuan supaya rakyat setiap negeri terbuka untuk bekerjasama dan berkongsi manfaat yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak  berkata, apa yang dilaksanakan buat julung kalinya itu  untuk memperkasa kerjasama antara ketiga-tiga kerajaan yang mampu mewujudkan pentadbiran yang berdaya saing sekali gus berkongsi kepakaran.

Katanya, pada masa yang sama, pihaknya  mahukan peluang penjanaan ekonomi terbuka luas antara ketiga-tiga negeri.

“Dengan bertukar-tukar produk tempatan seperti keropok lekor dan potensi tempat menarik untuk dilawati, sudah tentulah ianya dapat meningkatkan ekonomi setiap negeri.

“Malam ini bakal melakar sejarah, menyaksikan himpunan penyatuan ummah tanpa mengira ideologi politik dan kaum, kita berkumpul menyatukan para kepimpinan dan rakyat dari negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu,”katanya.

Beliau berkata demikian pada program HIMPUN, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu, malam ini.

Dr. Alias berkata, dia difahamkan  lebih 20,000 orang ramai tidak berganjak dari Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak   bermula petang tadi.

“Marilah bersama kita bangkit menyokong agenda kebangkitan perpaduan ummah ini. Kita bersatu dalam mendepani dan mempertahankan isu umat Islam. Kita bina dan bentuk kekuatan politik orang Melayu yang menjadi teras dalam Malaysia.

“Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para hadirin sekalian atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan majlis ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada urusetia atas usaha-usaha yang telah dijalankan, semoga usaha ini mendapat barakah dan hasil yang menguntungkan rakyat,”katanya.




Tag: