KUALA NERUS, 22 Ogos- Orang ramai tanpa mengira fahaman politik dan peringkat umur memenuhi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu, seawal jam 6.00 petang.
Ada di antara mereka yang bertongkat, mendukung bayi dan ada juga memimpin ibu atau ayah ke stadium itu bagi bersama-sama menjayakan Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur yang julung-julung kali diadakan di Pantai Timur.
Raut wajah mereka kelihatan sangat teruja untuk mendengar Bicara Murabbi Ummah disampaikan oleh penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus.
Pada masa sama, pastinya mahu mendengar amanat, pesanan dan kata-kata daripada tiga pucuk pimpinan negeri.
Tetamu kehormat itu adalah Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan sekali Menteri Besar Kelantan Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan kerajaan negeri melalui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), termasuk pameran berkaitan pembangunan kerajaan Terengganu, agihan Majalah Warta Darul Iman dan gerai jualan yang disertai hampir 150 usahawan kecil.