KUALA NERUS, 22 Ogos - Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur(HIMPUN) menjadi satu program yang terbaik dalam menzahirkan persefahaman dan juga muafakat tanpa mengira latar belakang politik dan juga kecenderungan masing-masing.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah berkata beliau mengharapkan perhimpunan ini dapat melahirkan satu natijah yang positif untuk umat islam di Malaysia secara umum.
"Program ini menjadi satu permulaan sebab belum ada lagi satu program yang menghimpunkan tiga Menteri Besar (MB) dari tiga negeri yang berlainan ini duduk sekali dalam satu program yang besar.
"Lebih-lebih lagi ketiga-tiga MB ini dari latar belakang parti politik yang berbeza iaitu PAS dan Umno, sebelum ni sama-sama PAS tu dah biasa jadi kali ini kita harap boleh mencetuskan perubahan yang besar dalam masyarakat selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika di temui di program HIMPUN di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, di sini hari ini.
Tambahnya, HIMPUN menjadi satu permulaan yang baik dan diharap akan mencetuskan satu kesedaran tentang pentingnya umat islam ni bekerjasama dalam perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada agama dan juga bangsa.
"Ia sangat penting, lebih-lebih lagi pada hari ini kita melihat ada ancaman-ancaman yang semakin berkembang terhadap kelansungan islam di Malaysia.
"Sudah sampai masanya umat islam tanpa mengira parti politik bukan hanya dalam PAS atau Umno tapi dalam semua parti politik supaya memberi perhatian kepada perkara ini," ujarnya lagi.
Mohd Amar juga berharap program seperti ini boleh diteruskan lagi dalam skala yang berbeza.