HIMPUN: Suara Anak Pahang Tegas Penyatuan Tidak Pinggir Bangsa Lain


KUALA NERUS, 22 Ogos - Pertubuhan Suara Anak Pahang menegaskan, penyatuan ummah yang memayungi objektif Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur tidak sesekali mengenepikan kaum lain dalam negara.

Presidennya, Haslihelmy Zulhasli memaklumkan, secara dasarnya, pertubuhan yang dianggotai anak-anak muda negeri Tok Gajah itu  menyokong penuh penyatuan tersebut.

"Penyatuan ummah tidak khusus untuk Melayu- Islam sahaja, malah kita tidak akan pinggirkan Orang Asli, Cina, India dan pribumi kerana kita hidup dalam negara berbilang bangsa.

"Ini kali pertama kami hadir di sini di mana kami nampak nampak jelas permuafakatan yang lebih erat terjalin," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program berkenaan, semalam.

Beliau yang hadir bersama rombongan satu bas dari Pahang ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri itu, turut berharap penyatuan yang dibina akan terus kekal.
Haslihelmy

"Sehingga hari ini, secara dasarnya orang Melayu jelas berpecah, khususnya dari segi politik kuasa.

"Sesuatu yang positif daripada kekalahan Barisan Nasional (BN) lalu, kini kita mula melihat kepada satu titik persamaan dan penyatuan orang Melayu," katanya.

Tambahnya, walaupun  BN masih memerintah di negeri terbesar semenanjung Malaysia itu, Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail benar-benar kuat berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dari segi kebajikan dan pentadbiran negeri.

Haslihelmy juga menyeru rakyat negeri berkenaan memberi sepenuh sokongan kepada pemimpin tersebut untuk mentadbir dan menjayakan visi dan misi dalam memajukan negeri Pahang.


Tag: