HOPE 1.0 Suntik Motivasi Bakal Doktor

Dr Mujahid menyampaikan ucapan kepada 100 peserta HOPE 1.0 yang hadir.

KUALA TERENGGANU - House Officer Preparatory Course (HOPE) mula mengorak langkah dengan memberikan motivasi dan kemahiran buat para graduan yang bakal bergelar doktor dan akan menjalani tempoh 'housemanship'.

 

 

 

Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr Mujahid Fauzi berkata, sebanyak 30 peratus doktor di negara ini mengalami tekanan mental yang serius.

Justeru, HOPE merupakan salah satu inisiatif yang julung-julung kali diadakan oleh PAPISMA.

"Terengganu menjadi negeri terawal dalam jelajah ini.

"Alhamdulillah, kita berjaya menganjurkan HOPE 1.0 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

"Saya cukup berbesar hati dengan komitmen kerajaan negeri dalam penganjuran HOPE kali ini di bawah portfolio Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Ternyata kerajaan serius dalam membantu kami para doktor bahkan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, program ini bertujuan untuk memberi perkongsian kepada bakal doktor tentang pendedahan awal amalan praktikal perubatan di hospital.

"Maklumat disampaikan oleh doktor-doktor pakar dan pegawai-pegawai perubatan yang berpengalaman," ujarnya.
 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, semalam (23 September).

Dalam perkembangan yang sama, menurut Dr Mujahid, peserta-peserta didedahkan dengan kemahiran mengambil darah, ujian air kencing, cara menangani stress dan sebagainya.

"Peserta yang hadir adalah graduan ijazah perubatan dari dalam dan luar negeri termasuk dari Rusia, Mesir, Jordan dan lain-lain.

"Kita menerima respon yang positif daripada peserta.

"Bagi pihak PAPISMA, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan mengharapkan kerjasama yang berterusan pada masa hadapan insya-Allah," tambahnya.

HOPE 1.0 berlangsung di Duyung Marina Resort bermula 21 hingga 22 September.
 

Ianya dirasmikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) negeri, Ustaz Kamaruzaman Abdullah.

Seramai 100 orang peserta menyertai program tersebut.

Tag: