Hospital KTS Dijadual Beroperasi Ahad Ini


Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang baharu di Jalan Sultan Mahmud, Batu Burok,  bakal beroperasi mulai Ahad ini dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan pakar yang menjanjikan suasana lebih selesa dan terbaik, di negeri ini.

Bagaimanapun KTS yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri di bawah naungan TDM Berhad akan beroperasi secara berperingkat dengan pembukaan dari tingkat satu hinggal lima daripada keseluruhan lapan tingkat bangunan dalam persekitaran kawasan peranginan itu.

Pengurus Besar KTS, Abel Ahing berkata, pada tahun ini pihaknya akan memperkenalkan perkhidmatan baharu seperti pergigian, kardiologi dan kemudahan cathlab, kecantikan (aesthetics), pusat kesihatan eksekutif, fisioterapi dan pemulihan terbaru seperti ‘deep tisse laser therapy’ dan ‘electro muscular stimulation’.

“Hospital ini dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan berteknologi yang terkini untuk memberi perkhidmatan lebih berkualiti kepada pelanggan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu bagi mendekatkan masyarakat dengan hospital baharu ini, pada 3 Februari depan pihaknya akan mengadakan `Festival of Firsts’ yang akan dimeriahkan kepada pelbagai kegiatan.

“Ini termasuklah ‘scavenger hunt’, pameran, pertandingan fesyen kanak-kanak, pertandingan bayi comel, pertandingan nyanyian kanak-kanak bermula dari pul 9 pagi hingga 6 petang,” ujar Abel.

KTS (di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd.) yang mula dibina pada tahun 2012 dengan kos awal dianggarkan RM122 juta bakal dilengkapi 130 katil, lima dewan bedah dan lima bilik bersalin) difahamkan akan beroperasi sepenuhnya pada 2019.
Disasarkan awalnya dapat beroperasi selewat-lewatnya tahun lalu, namun telah dianjak kepada awal tahun ini kerana masih berdepan dengan beberapa masalah bagi mendapat kelulusan daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan. - UTUSAN ONLINE

Tag: