Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Program 'Hospitalku Sekolahku' yang diadakan di Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu menyasarkan pendidikan berterusan untuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Nor Hafizah Abdullah, berkata program tersebut telah berlangsung selama 11 tahun dan melibatkan antara 300 hingga 400 pelajar.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan oleh FBK dengan kerjasama SDH, HSNZ, Kuala Terengganu, sebagai kesinambungan daripada program 'Sekolahku Hospitalku' yang mula dilaksanakan pada tahun 2013.
“Saya berharap inisiatif ini akan terus menjadi platform penting untuk pendidikan kanak-kanak dalam rawatan, dengan harapan usaha ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.
"Program ini memberikan impak positif kepada komuniti dan peserta, mengeratkan hubungan antara komuniti luar dengan mahasiswa FBK serta menyediakan input untuk memperkuat dan memperkasakan para peserta,” katanya kepada pemberita ketika pelancaran program berkenaan.
Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Hospital, Dr. Norazman Alias, yang menyatakan komitmen untuk memastikan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital tidak terlepas daripada pembelajaran.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Nordin Abdul Rahman, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Dekan FBK, para pensyarah yang menyertai program, dan fasilitator “Hospitalku Sekolahku”.
Beliau juga menekankan bahawa program berkenaan bertujuan menerapkan konsep sukarelawan berdasarkan Teras 'Hero Komuniti' dalam Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030, dengan harapan pelajar dapat berperanan aktif dalam pembangunan komuniti dan negara.
“Bagi peserta, program ini memberi peluang kepada mahasiswa FBK untuk berbakti dan mengasah kemahiran mengajar serta insaniah melalui aktiviti-aktiviti seperti origami, lukisan, dan pelbagai aktiviti kreatif lain," ujarnya.