HULU TERENGGANU, 18 FEBRUARI – Meskipun cuaca mendung dan hujan menyelubungi sejak awal pagi, ia tidak menghalang kehadiran luar jangka seramai 500 peserta bagi menjayakan program Jelutong Hike Community bagi pendakian di Bukit Jelutong, Kampung Kepah, semalam
Program santai yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu menyaksikan para peserta menunjukkan semangat kental melengkapkan pendakian sejauh 1.5 kilometer (KM) dari kaki bukit sehingga ke puncak.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata,kejayaan program itu menjadi sandaran untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti dan kerjasama pada masa akan datang bagi memperkasa komuniti di kawasan DUN Telemong.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut turut merakamkan penghargaan atas komitmen padu yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat.
Menambah nilai kerohanian dalam aktiviti sukan tersebut, satu pengisian tazkirah ringkas turut disampaikan di puncak bukit oleh Pegawai Khas ADUN Telemong, Mohamad Yusuf Abdullah.
Dalam perkongsiannya, beliau menyentuh mengenai keberkatan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi dengan menyeru para peserta agar mempertingkatkan amal ibadah sebagai persediaan batiniah.

Aktiviti yang menggabungkan elemen riadah dan pengisian jiwa itu berakhir dengan jayanya, sekali gus membuktikan Bukit Jelutong, Kampung Kepah mempunyai potensi besar sebagai lokasi aktiviti luar yang mampu menyatukan penduduk.