KUALA TERENGGANU, 28 November – Cuaca di Terengganu dijangka terus memburuk apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan membabitkan hampir seluruh negeri sehingga Sabtu, 29 November 2025.
Empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman diletakkan di bawah Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) berikutan ramalan hujan sangat lebat yang dijangka berlaku tanpa henti dalam tempoh dua hari ini.
Keadaan itu menimbulkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah, pesisir pantai dan berhampiran sungai utama.
Sementara itu, daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu turut menerima Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dengan hujan lebat diramal berterusan sehingga Sabtu.
Situasi tersebut dijangka menambah tekanan kepada sistem saliran sedia ada, sekali gus meningkatkan kemungkinan limpahan air di beberapa lokasi hotspot banjir.
Menurut MetMalaysia, perubahan corak angin Monsun Timur Laut menjadi punca peningkatan ketara taburan hujan di negeri ini.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa cuaca melalui portal rasmi MetMalaysia serta saluran media yang sahih.
Penduduk di kawasan berisiko diminta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pemindahan, manakala pengguna jalan raya dinasihatkan menangguhkan perjalanan jika tidak perlu, terutama di laluan kerap dinaiki air.
Dalam masa sama, pihak berkuasa juga sedang meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang keadaan luar jangka sepanjang tempoh amaran ini.